Kajian ambil kira suara rakyat
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
DEMI ILMU...pelajar adalah aset paling berharga bagi meneruskan
kesinambungan pembangunan negara, justeru transformasi yang dilakukan
perlulah menitikberatkan kepentingan ilmu dalam kehidupan.
MELANGKAH era baru penuh cabaran, sektor pendidikan negara juga
bergerak seiring bagi menjadikannya lebih proaktif, dinamik, profesional
serta menepati standard global.
Apatah lagi dengan pelbagai sasaran ditetapkan bagi melahirkan
pelajar dan institusi yang bukan saja cemerlang akademik malah memenuhi
kriteria prestasi tinggi, menjadikan sektor pendidikan negara perlu
berdepan perubahan besar.
Pengenalan Kajian Semula Pendidikan juga satu cara sektor pendidikan
negara melonjakkan lagi tahap sedia ada ke satu peringkat boleh
dibanggakan.
Justeru, apakah jangkaan terhadap sektor pendidikan negara apabila pengenalan ini dilaksanakan dalam tempoh sasaran?
Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli panel Dialog Nasional
Pendidikan Negara, Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, menerusi Kajian
Semula Pendidikan, dunia pendidikan negara dijangka melonjakkan lagi
profesionalisme serta pencapaian dalam dua aspek utama iaitu
perkembangan kecendekiawanan serta pembangunan insaniah pelajar.
Beliau berkata, dua aspek itu nadi terhadap kecemerlangan pelajar, sekali gus melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri kukuh.
“Ini adalah masa paling tepat bagi melakukan perubahan kerana pelajar
kita akan berdepan persaingan global serta transformasi alaf baru dunia
pendidikan yang serba pantas.
“Penekanan terhadap dua aspek itu
antara paling utama sebagai usaha melahirkan pelajar yang mampu berfikir
secara global, berakhlak baik serta bertanggungjawab.
“Dalam
tempoh sasaran ditetapkan selama 15 tahun, diharap negara mampu
melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing tinggi supaya boleh
bersaing di persada dunia antarabangsa,” katanya.
Sistem
pendidikan negara juga, katanya, mampu berdiri setanding negara maju
seperti Finland, sekali gus meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia
ada ke tahap terbaik.
“Pelbagai aspek akan diperbaiki dari
semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia
ada. Ini membantu melonjak keupayaan negara untuk setanding negara maju
dalam sektor pendidikan,” katanya.
Kajian Semula Pendidikan yang
akan dilancarkan esok antara mekanisme serta transformasi kerajaan
bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan negara ke tahap
paling membanggakan.
Ini juga bagi menjadikan sektor berkenaan
berdaya saing dengan pelbagai visi dan aspirasi baru bagi menjadikan
sistem pendidikan lebih kompetitif dan mencapai standard global.
Antara objektif Kajian Semula Pendidikan adalah untuk memahami isu dan
cabaran, menjelaskan visi dan aspirasi baru untuk sistem pendidikan
negara pada masa depan juga mencetuskan transformasi bagi meningkatkan
standard serta merapatkan jurang pencapaian.
Pelan ini adalah
inklusif dan kolektif merangkumi suara rakyat dengan 156 memorandum, 20
meja bulat, 16 dewan terbuka, 14 negeri dan lima forum murid selain syor
daripada 7,757 guru, 2,117 ahli persatuan ibu bapa dan guru dan 1,853
orang awam.
Dijangkakan menerusi kajian semula itu, sistem
pendidikan negara akan berupaya melonjakkan lagi prestasi pencapaian
sedia ada menjelang tempoh sasaran pada 2025 dengan keupayaan melahirkan
melahirkan pelajar berkapasiti pendidikan dengan nilai pengalaman
selain merapatkan pencapaian jurang yang wujud masa kini.
Diharapkan menjelang tempoh itu, setiap pelajar akan mempunyai kemampuan
untuk melaksanakan pelbagai kemahiran seperti kepemimpinan,
berpengetahuan, beridentiti nasional juga menguasai bahasa.
Malah, profesionalisme guru juga diharap mampu dilonjakkan ke tahap
optimum menerusi pelaksanaan suntikan pakej baru dalam kerjaya berkenaan
manakala bagi institusi sekolah dapat menganjak pencapaian sedia ada ke
tahap lebih baik dengan kadar segera.
Naib Canselor UKM, Tan
Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang juga ahli panel Dialog
Nasional Pendidikan Negara (Panel Bebas) juga berpendapat, usaha
penambahbaikan yang dilakukan menerusi Kajian Semula Pendidikan itu
tepat pada masanya demi kegemilangan dunia pendidikan negara pada masa
depan.
“Penambahbaikan ini demi kebaikan bersama terutama dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara ke tahap global.
“Ia dilaksanakan dengan sokongan pendapat semua dan manfaatnya juga akan dapat dinikmati dengan menyeluruh,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09
Tiada ulasan:
Catat Ulasan