Halaman

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah.”
Riwayat at-Tirmidzi

Huraian
1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.
2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” (al-Anbia’: 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.
3. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.
4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.

Isnin, 10 September 2012

‘Berikan guru kepercayaan’

USAHA dan komitmen kerajaan melalui Kajian Semula Pendidikan turut mendapat reaksi positif daripada kalangan ahli akademik.
Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, ini membuktikan keprihatinan kerajaan memartabatkan sektor pendidikan negara terutama dalam melahirkan guru yang mempunyai prestasi kerja mantap dan cemerlang.
Beliau berkata, meskipun tumpuan lebih kepada pelajar, peranan guru sebagai pemangkin terpenting terhadap pembangunan sahsiah diri pelajar perlu diselarikan untuk impak jangka panjang.

“Sebagai antara mekanisme terpenting dalam usaha melonjakkan lagi pencapaian pelajar, guru perlu diberi akses mengaplikasikan apa jua ilmu mahupun kemahiran tanpa sekatan, selain sedikit ruang untuk melaksanakan undang-undang.

“Berikan guru kepercayaan bukan saja bagi tujuan mengajar, malah mendidik untuk menyampaikan pengetahuan. Melalui pendidikan inilah hasrat melahirkan pelajar cemerlang dalam semua aspek akan tercapai,” katanya.

Guru juga perlu melakukan anjakan paradigma bagi memastikan hasrat membina sistem pendidikan menyeluruh tercapai.

“Pembinaan sahsiah pelajar yang baik adalah lambang kejayaan guru dalam mendidik. Justeru, guru juga perlu akur untuk memberikan sepenuh tanggungjawab sewaktu menjalankan tugas.

“Kajian Semula Pendidikan ini juga satu komitmen untuk mengangkat dan memartabatkan bidang perguruan supaya lebih diminati, sekali gus merencanakan usaha melahirkan pelajar cemerlang global dengan hasil didikan guru,” katanya.

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Ab Rahim Bakar berkata, kajian berkenaan perlu dilakukan sejak dulu untuk menyemak semula sistem pendidikan sedia ada.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap pelajar berkemampuan global menjadikan sistem pendidikan juga perlu berubah selaras dengan pembangunan pesat negara dan dunia.

“Untuk melahirkan pelajar bertahap global, pelbagai aspek penting perlu ditekankan supaya mereka mempunyai keupayaan untuk bersaing di mana-mana saja selain memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

“Pada sama membentuk pemikiran luas untuk menilai dengan bijak pada sudut pandangan sendiri selain melahirkan warganegara berakhlak mulia.

“Cabaran merealisasikannya bukan mudah, namun jika kita mampu fokus sepenuhnya pada pembangunan pelajar dan pendidikan tanpa prejudis, apa yang disasarkan pasti tercapai,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan