KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk
melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan
pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan
menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat
itu.
Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan
diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program
penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh
pihak sekolah.
Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme
bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan
mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah
langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.
Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu
kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam
mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha
untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.
Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk
mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan
pelajar seperti mana yang diharapkan.
Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:
1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok
pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan
Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan
dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.
2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah
sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan
perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah
dengan Jabatan Pelajaran Negeri.
3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui
berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari
Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para
pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.
Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan
tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan
sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta
menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru
kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta
transformasi kurikulum.
Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah.
Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa
autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan
hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan
masing-masing.
Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah
tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh
negara.
Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian
daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua
dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.
Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi
gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk
dibantu.
Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan
menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam
komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang
terbuka kepada semua.
Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi
latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya
kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar
belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum
dalam kaedah yang positif dan proaktif.
ini adalah satu perkembangan yang bagus kerana kerajaan tidak tertumpu sahaja dengan sekolah yang telah bagus tetapi juga turut memnatau sekolah lemah untuk memastikan sekolah yang lemah juga mendapat pembelaan dan perhatian seperti jua sekolah cemerlang
BalasPadampada pendapat saya, sekolah lemah di pantau adalah melihat kepada pencapaian murid. saya amat bersetuju dengan tindakan pihak pentadbiran sekolah yang sentiasa memantau dan memberi perhatian kepada murid lemah melalui program LINUS untuk tahap 1 manakala untuk tahap 2 terdapat beberapa program dilaksanakan. justeru, dari segi kemudahan kerajaan juga turut menyediakan bilik akses yang mempunyai perisian program MBMMBI bagi membantu murid-murid dalam P & P dan mencapai prestasi yang bagus selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan seterusnya melahirkan modal insan yang cemerlang dan berakhlak terpuji.
BalasPadamtidak kira pencapaian sekolah cemerlang atau tidak, setiap sekolah perlu dipantau untuk memastkan pendidikan negara an wawasan 2020 tercapai dengan jayanya
BalasPadamLangkah kerajaan untuk membantu sekolah yang kurang berdaya maju dari segi pencapaian sekolah,pencapaian pelajar adalah satu langkah yang bagus. Semoga dengan cara ini akan melahirkan banyak lagi pelajar-pelajar pintar yang akan sama-sama membangunkan negara.Dengan cara ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sekolah-sekolah yang berkenaan. Cara ini juga secara tidak langsung akan membuatkan guru-guru lebih bersemangat untuk menjalankan tugas mereka sbg pndkk.
BalasPadamlangkah kerajaan ini perlu diambil serius untuk memastikan pencapaian pelajar adalah seimbang antara sekolah lemah dan sekolah cemerlang.sebagai seorang guru, kita perlu bersama-sama membantu untuk mencapai matlamat ini.
BalasPadam