Halaman

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah.”
Riwayat at-Tirmidzi

Huraian
1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.
2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” (al-Anbia’: 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.
3. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.
4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.

Selasa, 28 Ogos 2012

Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau

KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat itu.
Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.
Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.
Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.
Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.
Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:
1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.
2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri.
3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.
Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi kurikulum.
Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan masing-masing.
Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.
Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk dibantu.
Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.
Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.

Pendidikan desa, bandar seiring

KUALA LUMPUR: Langkah terbaik kini dikenal pasti bagi meningkatkan mutu pendidikan negara dalam usaha memastikan sistem pendidikan luar bandar mampu bergerak seiring dengan di bandar.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata, sehingga kini mutu pendidikan negara secara amnya mampu bersaing dengan negara lain dan tidak perlu dipertikaikan.

Bagaimanapun, katanya, usaha transformasi ingin dilakukan bagi memastikan perkembangan pendidikan negara disebarkan secara menyeluruh, terutama di kalangan pelajar luar bandar.
“Jika kita melihat kadar pencapaian mutu pendidikan negara, sememangnya boleh dikatakan ia sama dengan tahap pendidikan negara lain.

“Namun, apa yang ingin kita lakukan supaya mutu pendidikan luar bandar dan di bandar bergerak dan meningkat secara seiring,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan dan Transformasi Pendidikan anjuran Yayasan Guru Pelajaran Malaysia (YGPM), di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi YGPM, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengarah Institut Kepimpinan Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Marohaini Yusof.
Abd Ghafar tidak menafikan wujud jurang mutu pendidikan antara pelajar luar bandar dengan bandar yang berpunca daripadanya banyak faktor.

“Faktor ini pula bukan satu, sebaliknya merangkumi banyak aspek. Sebagaimana program transformasi pendidikan yang ingin dilakukan, kita ingin mencungkil di mana kelemahannya dan cara mengatasinya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012

Pemberian diskaun beli barangan kepada pelajar


SINTOK: Sebanyak 17 syarikat mengesahkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memberi diskaun kepada pelajar yang menggunakan kad diskaun semasa membuat pembelian.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sedang membuat rundingan terakhir dengan syarikat berkenaan sebelum melancarkan kad diskaun tersebut bulan depan.
"Antara syarikat yang terlibat ialah cermin mata, kedai buku, alat tulis, makanan segera, pusat kecantikan dan klinik. Kita juga menjangkakan semasa pelancaran nanti, kita dapat menarik lebih 20 syarikat kerana kita juga sedang membuat perbincangan dengan syarikat pengangkutan seperti Maswing (untuk pelajar di Sabah dan Sarawak) dan juga syarikat minyak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Universiti Utara Malaysia (UUM) 2012, Gerakan Pengguna Siswa peringkat negeri Kedah dan Menu Rakyat 1Malaysia di UUM di sini hari ini.

Katanya kadar diskaun yang akan diberikan adalah antara 10 hingga 30 peratus bergantung kepada persetujuan syarikat tersebut.

"Pada fasa pertama, kita akan berikan kepada pelajar tahun akhir kerana mereka akan menamatkan pengajian tidak lama lagi dan fasa-fasa berikut baru kita beri kepada pelajar tahun dua dan tahun satu," katanya.

Ismail Sabri berkata kad itu akan diberikan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej komuniti dan institut pendidikan guru.

"Sekarang ini kita mempunyai 1.4 juta pelajar di seluruh negara dan kita akan berikan kad diskaun tersebut secra berperingkat. Untuk permulaan kita akan utamakan kepada semua mahasiswa kecuali pelajar pascasiswazah," katanya.

Beliau berkata pemberian kad itu mungkin diperluas kepada semua pelajar termasuk pascasiswazah kecuali pelajar antarabangsa pada masa akan datang.

Beliau turut menyarankan kepada pelajar yang akan menerima kad tersebut supaya membuka akaun simpanan di Bank Rakyat kerana kad itu juga boleh dijadikan kad debit semasa membeli barang di kedai-kedai terpilih.

"Kita bersama-sama dengan Bank Rakyat mengeluarkan kad tersebut dan diberikan secara percuma kepada pelajar. Kita anggap ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat dan juga CSR daripada syarkat-syarikat yang memberi diskaun terhadap produk mereka," katanya.

Katanya pemberian kad diskaun pelajar jelas menunjukkan pihak kerajaan prihatin kepada golongan pelajar dan sentiasa memikirkan bagaimana cara hendak membantu pelajar kerana pelajar tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung kepada ibu bapa dan juga pinjaman pelajaran.

"Ini juga merupakan satu inisiatif yang kita kira tidak memerlukan belanja yang besar kerana kerjasama yang diberikan antara pihak kerajaan dan swasta yang jika kerjasama diteruskan lagi, maka lebih banyak yang boleh kita lakukan," katanya. - BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : 28/08/2012

Isnin, 27 Ogos 2012

Isu-Isu Pendidikan di Malaysia

Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat menghadapi alam dewasa. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali. Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa mengambil kira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara hidup.
Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 (KPM, 2001). Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang pendidikan berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya perkara berhubung sengan struktur pendidikan; akses kepada pendidikan; ekuiti; kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur; Pelaksanaan Program PPSMI; dan kurikulum yang relevan. Ini selaras dengan pendapat Sufean (2004) yang menyatakan terdapat banyak isu pendidikan yang boleh dikatagorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.
Struktur Pendidikan
Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan, misalnya:
  • Bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan kebanyakan negara lain di dunia;
  • Tidak terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan;
  • Kebanyakan pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan
  • Skop kurikulum Tingkatan 1 hingga 6 sangat luas.
Akses Pendidikan
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT. Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan:
  • pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar bandar;
  • perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
  • latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di sekolah yang kurang berkesan;
  • penyenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
  • bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.
Justeru adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah akan memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan setiap murid dan guru celik ICT.
Ekuiti Pendidikan
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber: Pembangunan Pendidikan 2001-2010, KPM).
Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum dapat menikmati kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau pedalaman. Selain itu, kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan buku teks juga masih berkurangan.
isu-isu pendidikan
Tenaga pengajar
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru terdiri daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah menjadi “bidan terjun”. Guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar mula dipertikaikan.
Program PPSMI
Sejajar dengan matlamat ingin melahirkan pelajar yang “bertaraf dunia”, KPM juga telah melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walau bagaimanapun penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek sains dan matematik telah mendapat respon yang negatif daripada rakyat. Ini kerana penggunaan bahasa asing bukan sahaja merosakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu, tetapi turut memusnahkan reputasi pelajar, khususnya di luar bandar. Mereka belajar melalui medium yang mereka tidak faham. Komunikasi tidak berkesan dalam pelajaran sudah tentu memberi kesan yang buruk.
Kesan globalisasi
Selain daripada itu, isu-isu berkaitan pendidikan juga turut melibatkan penggunaan internet. Era dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah memudahkan maklumat diperoleh dengan cepat dan berkesan melalui internet atau laman-laman web dan sebagainya melalui komputer. Implikasinya, isu-isu Moral semasa khususnya isu-isu yang membabitkan nilai-nilai sosial menjadi begitu kompleks dan menjadi sukar untuk diselesaikan. Fenomena ini disebabkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang ingin diterapkan bercanggah dengan nilai-nilai di Barat atau negara-negara maju yang lain yang mana mereka lebih mementingkan materialistik, individualistik dan budaya kosmopolitan.
Sahsiah Pelajar
Kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi isu dan dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang naik ke sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke Tingkatan 4 memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada kebanyakan murid tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat merokok di kalangan pelajar, gejala vandalisme, melepak, ponteng sekolah dan sebagainya di kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi.
Isu-isu lain dalam sistem pendidikan
Selain isu-isu yang dikemukakan di atas, terdapat pelbagai lagi isu yang timbul berkenaan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya:
  • Kepimpinan sekolah masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai pemimpin pengurusan dan pemimpin pengajaran (instructional leadership) yang berkesan;
  • Pengupayaan kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri;
  • Layanan yang sama diberi kepada semua sekolah walaupun pada realitinya sekolah mempunyai keperluan, kekuatan dan kelemahan serta keupayaan yang berbeza;
  • Keselamatan di sesetengah sekolah masih belum terjamin sepenuhnya;
  • Penandaarasan bagi menjamin sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di negara maju adalah terhad;
  • Struktur organisasi antara lapisan pentadbiran di KPM yang tidak setara menyebabkan penyaluran dasar dan pelan pelaksanaan kurang sistematik dan berkesan;
  • Sistem penyampaian masih belum cekap dan berkesan khususnya daripada aspek pemberian bantuan; dan
  • Sistem maklumat tidak menyeluruh dan tidak bersepadu.

Sejarah Pendidikan di Malaysia


Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 - Zaman Pengukuhan
  • Pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan
  • Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama
  • Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia
  • Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua
Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 - Zaman Kemaskini
  • Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
  • Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini
  • Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
  • Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
  • Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
  • Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan
Ciri-ciri Laporan Kabinet 1979
  • Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
  • Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini
  • Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
  • Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
  • Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
  • Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan
Rang Undang Undang Pendidikan 1995
Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara.
  • Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan
  • Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5-7 tahun
  • Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan
  • Pendidikan teknik & politeknik dipertingkatkan
  • Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta



Sistem Pendidikan Kebangsaan di peringkat sekolah di bawah Kategori Institusi Pendidikan Kerajaan terdiri daripada:-

(a) Pendidikan Prasekolah
  • Program pendidikan bagi murid yang berumur dari empat hingga enam tahun;
 (b) Pendidikan Rendah
  • Kursus pengajian pada peringkat rendah yang direncanakan bagi tempoh enam tahun tetapi   yang  boleh tamat diikuti dalam tempoh antara lima hinggah tujuh tahun;
  • Ia terdiri daripada Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Jenis Kebangsaan;
 (c) Pendidikan Menengah
  • Pendidikan yang terdiri daripada pendidikan Menengah Rendah dan Menengah Atas;
  • Pendidikan Menengah yang diadakan terdiri daripada
            o    Sekolah Akademik
            o    Sekolah Teknik dan Vokasional
            o    Sekolah Kebangsaan Agama
(d) Pendidikan Lepas Menengah
  • Pendidikan yang disediakan untuk seseorang yang sudah tamat mengikuti pendidikan menengah rendah dan menengah atas, tetapi tidak termasuk pendidikan tinggi.
  • Persekolahan di bawah Kategori Institusi Pendidikan Bantuan Kerajaan pula adalah bagi Sekolah Berasrama Penuh yang ditanggungjawabkan kepada Unit Sekolah Berasrama Penuh Bahagian Sekolah.
  • Institusi pendidikan lain di peringkat persekolahan yang ditubuhkan adalah :-
          o    Sekolah Pendidikan Khas yang ditanggungjawabkan  kepada              Jabatan Pendidikan Khas.
          o    Sekolah Sukan yang ditanggungjawabkan kepada Bahagian Sukan.
Falsafah Pendidikan Negara
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Program LINUS

APA MAKSUD PROGRAM LINUS?



Akronim kepada perkataan LI (Literasi), NU (Numerasi) dan S (Screening – Saringan). Jadi maknanya Program Saringan Literasi dan Numerasi.

Program ini dirancang dan dibentuk sebagai penambahbaikan program sedia ada (KIA2M), memastikan semua murid Tahun 1 pada 2010menguasai asas membaca, menulis dan mengira pada akhir tahun 3 menjelang Tahun 2011.

DEFINISI LITERASI

Keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan dan ayat serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian.
KEMAHIRAN ASAS LITERASI

TAHUN 1 – Boleh membaca, menulis dan memahami minima 500 patah perkataan dan ayat mudah.
TAHUN 2 – Boleh membaca, menulis dan memahami minima 800 patah perkataan dan ayat mudah menggunakan kata sendi.
TAHUN 3 – Boleh membaca, menulis dan memahami minima 1000 patah perkataan dan ayat mudah dengan kata sendi dalam satu perenggan.

12 KONSTRUK YANG DIUKUR DALAM SARINGAN LITERASI

Konstruk 1 : Keupayaan membaca dan menulis huruf vokal dan konsonan.
Konstruk 2 : Keupayaan membaca dan menulis suku kata terbuka.
Konstruk 3 : Keupayaan membaca dan menulis perkataan suku kata terbuka.
Konstruk 4 : Keupayaan membaca dan menulis suku kata tertutup.
Konstruk 5 : Keupayaan membaca dan menulis perkataan suku kata tertutup.
Konstruk 6 : Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup ‘ng’.
Konstruk 7 : Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi diftong
Konstruk 8 : Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi vokal berganding.
Konstruk 9 : Keupayaan menulis perkataan yang mengandungi digraf dan konsonan bergabung.
Konstruk 10 : Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang berimbuhan awalan dan akhiran.
Konstruk 11 : Keupayaan membaca dan menulis ayat mudah.
Konstruk 12 : Keupayaan membaca, memahami dan menulis ayat berdasarkan bahan rangsangan.

DEFINISI NUMERASI

Keupayaan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian.

KEMAHIRAN ASAS NUMERASI

TAHUN 1
- Kemahiran : Membaca, menulis dan mengira mengikut turutan nombor hingga 50.
- Operasi asas : Faham fakta asas tambah dan tolak
- Aplikasi : Mengira wang hingga RM 10, memahami masa dan ukuran asas
TAHUN 2
- Kemahiran : Membaca, menulis dan mengira turutan nombor hingga 100
- Operasi asas : Faham fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi
-Aplikasi : Mengira wang hingga RM 50, memahami waktu dalam jam dan mengukur panjang/pendek objek
TAHUN 3
- Kemahiran : Membaca, menulis dan mengira mengikut turutan nombor hingga 1000.
- Operasi asas : Faham fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi
- Aplikasi : Mengira wang hingga RM 100, memahami waktu dalam jam dan minit serta mengukur objek dalam unit piawai

12 KONSTRUK YANG DIUKUR DALAM SARINGAN NUMERASI

Konstruk 1 : Keupayaan pra nombor dan mengenal angka
Konstruk 2 : Keupayaan membilang
Konstruk 3 : Keupayaan memahami nilai nombor
Konstruk 4 : Keupayaan membuat seriasi
Konstruk 5 : Keupayaan mengenal mata wang Malaysia
Konstruk 6 : Keupayaan menyatakan waktu
Konstruk 7 : Keupayaan mengendalikan operasi asas
Konstruk 8 : Keupayaan mengendalikan operasi asas melibatkan mata wang Malaysia
Konstruk 9 : Keupayaan mengukur panjang objek, jisim objek dan isipadu.
Konstruk 10 : Keupayaan menterjemah ayat biasa kepada ayat matematik dan sebaliknya
Konstruk 11 : Keupayaan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian terhad kepada nombor bulat
Konstruk 12 : Keupayaan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian melibatkan mata wang, masa dan ukuran panjang.